Tuesday 2 August 2011

Maaf... Awak terlewat 30 minit... (Chapter 10)

"Hello," jawab Rayyan selepas menekan butang hijau pada telefon bimbitnya.

"Assalamualaikum Zikri. Ayah ni," kata insan yang menelefonnya itu.

Rayyan Zikri terdiam. Ayah? Siapa ayahnya? Dia tahu ayahnya bernama Zainal, tetapi tidak tahu siapakah orangnya? Bagaimanakah orangnya? Benarkah itu ayahnya?

"Zikri!" sapa Encik Zainal.

"Ya, saya Zikri. Maaf lah, saya tak kenal encik ni siapa? Setahu saya ayah saya dah meninggal dunia 28 tahun yang lalu."

"Zikri, sampai hati kamu cakap macam tu. Ni ayah kamu."

Kalau dari 28 tahun dulu kau kata kau ayah aku, mungkin aku boleh terima kau. Tapi sekarang....... Ah, entah lah. Hati kata kenapa baru sekarang dia cari aku? Kenapa bila dia susah baru dia datang cari aku? Tapi akal kata, dialah ayah aku. Betapa aku menafikan dia, dia tetap ayah aku dunia akhirat. Dan berdosa jika aku derhaka pada ibu dan ayah aku.

"Ada apa call saya ni?" jawab Rayyan dingin.

"Zikri, ayah tau kamu marahkan ayah. Kalau kamu tak suka ayah pun tak apa lah, ayah anggap itu balasan ayah bila pisahkan kamu dengan Zairi. Ayah cuma mintak jasa baik kamu, untuk selamatkan adik kamu, Zairi. Ayah tau kamu tak pernah tengok atau kenal kami, tapi Zairi tu saudara kembar kamu. Dia amat perlukan bantuan kamu sekarang ni."

"Saya tak marah. Cuma saya tertanya-tanya, mengapa pisahkan kami kalau betul encik ni ayah saya dan Zairi tu adik kembar saya? Kenapa baru sekarang cari saya dan mama? Kalau Zairi tak sakit, agaknya sampai sekarang saya tak tahu ayah saya masih hidup dan saya ada saudara kembar."

"Panjang ceritanya Zikri. Kamu tolong ayah dulu, lepas segalanya stabil, ayah akan ceritakan segalanya pada kamu dan mama kamu. Tolong ayah Zikri. Tolong lah. Kasihan pada Zairi."

"Beri saya masa."

"Zairi dah tak banyak masa lagi. Paling lewat pun sebulan dari sekarang dia mesti lakukan pemindahan buah pinggang tu. Kalau tak keadaan dia akan jadi semakin teruk, dan boleh membawa maut."

"Doakan supaya Allah bukakan pintu hati saya," mudah saja jawapan Rayyan sebelum meletakkan telefon.

Bukan dia sengaja berkata begitu. Tetapi kerana dia sendiri berharap Allah akan membukakan pintu hatinya untuk menerima kehadiran ayah dan adik kembarnya. Dan juga supaya Allah bukakan pintu hatinya untuk mendermakan sebelah daripada buah pinggangnya untuk adik kembarnya itu.

Kemudian Rayyan mendail satu nombor.

"Jumpa aku kat tempat biasa," Rayyan terus meletak telefon.

Setelah bersiap, Rayyan turun dan mencapai kunci keretanya. Belum sempat untuk memegang tombol pintu, Puan Ruzila menegur.

"Zikri nak ke mana malam-malam ni?"

"Zikri keluar sekejap, ada hal," Rayyan terus keluar tanpa mempedulikan mamanya.

Selepas mengetahui tentang Encik Zainal dan Zairi, Rayyan lebih banyak memerap di dalam bilik. Keluar pun untuk makan atau minum. Dia juga sudah kurang bercakap dengan Puan Ruzila. Bukan berkecil hati, tetapi seperti kelu di hadapan Puan Ruzila.

Setibanya di restoran mamak yang selalu menjadi tempat persinggahan untuk Rayyan, Shafiq dan Aziem melepak, dilihat Aziem sudah pun menunggunya di situ. Dia pun terus duduk di hadapan Aziem dan terus memesan segelas minuman.

"Hah, ada apa kau nak jumpa dengan aku ni?" tanya Aziem.

"Hai, nak jumpa member pun salah?" tanya Rayyan pula.

"Bukan salah, tapi dari cara kau tu menandakan yang kau tengah ada masalah. Kalau tak, kau takkan terus letak tadi masa call aku. Rayyan, kita kenal bukan sehari dua."

Muka Rayyan terus berubah. Prihatin benar sahabatnya ini. Shafiq dan Aziem memang sahabatnya yang paling baik sejak dari universiti lagi. Segala susah payah bergelar pelajar, mereka harungi bersama. Dan itu yang telah menjadikan mereka bertambah akrab. Mereka akan saling membantu jika salah seorang dari mereka menghadapi masalah.

"Ceritalah kat aku, kalau aku boleh tolong, aku tolong. Kalau aku tak boleh tolong selesaikan pun, sekurang-kurangnya aku boleh tolong dengar. Kan kurang sikit beban kau nanti," kata Aziem.

"Hmm... Macam ni, aku bukan nak bukak aib keluarga aku, tapi aku dah buntu. Aku cuma cerita hal ni pada kau je, nak cerita pada Shafiq, kau tau kan Shafiq pergi honeymoon?"

"Tak apa, kau cerita je."

"Ayah aku muncul semula setelah 28 tahun menghilang. Dan tiba-tiba aku dapat tau yang aku ada adik kembar yang sedang sakit sekarang ni. Dia perlukan pemindahan buah pinggang dan hanya aku saja penderma yang sesuai. Masalah aku sekarang ni, aku macam susah lah nak terima diorang. 28 tahun bukan sekejap Ziem. Lama. Bukan senang aku nak telan semua kenyataan ni dalam masa yang singkat."

"Tapi kau kena ingat, walau apa pun yang terjadi dalam keluarga kau dulu, dia tetap ayah dan adik kau. kalau tak ada ayah kau, kau takkan wujud macam sekarang ni." nasihat Aziem.

"Itu aku tau. Tapi cuba kalau kau yang ada kat tempat aku, macam mana kau rasa?"

"Ok, ok. Aku faham perasaan kau. Kau rasa macam diorang tu, orang asing dalam hidup kau kan? Ok lah, aku memang tak pernah alami apa yang kau alami sekarang. Tapi kalau aku jadi kau, aku akan mintak Allah tolong aku. Kalau kau masih tak boleh terima mereka, buat solat sunat istikharah. Minta petunjuk dari Allah. Solat sunat istikharah ni bukan untuk memilih jodoh je. Tapi kalau kita buntu untuk membuat sesuatu keputusan dalam kehidupan kita, pun boleh buat jugak," nasihat Aziem lagi.

"Kau perli aku ke apa? Sepanjang kita tinggal menyewa serumah dulu, pernah tak kau tengok aku solat? Baca al-Quran pun agaknya dah keras lidah ni."

"Aku bukan nak perli kau. Tapi itu je yang aku boleh bantu. Aku nak bantu lebih-lebih aku tak mampu. Dan satu je la kan, sampai bila kau nak terus hidup macam dulu. Umur kita ni bukan makin muda, tapi makin tua. Pejam celik dah dekat 30 tahun dah umur kita. Tapi kalau Allah kata kejap lagi Dia nak tarik nyawa kita, sesaat pun kita tak boleh nak cepatkan atau lambatkan. Aku minta maaf kalau kau terasa dengan apa yang aku cakap ni. Tapi, aku sekadar nak tolong kau. Sampai bila kau nak hidup macam ni? Bila kita ada masalah, sebenarnya dengan Allah lah tempat paling baik untuk kita mengadu," ujra Aziem panjang lebar.

Agak panas telinga Rayyan mendengarnya. Selama ini hanya Puan Ruzila yang berani menegurnya tentang solat. Itu pun sudah penat mulut Puan Ruzila sehingga sudah malas untuk menasihatinya lagi. Kini sahabat baiknya pula yang menegur.

Melihatkan keadaan Rayyan yang diam membisu sambil mengerutkan dahi, Aziem tahu Rayyan sedang marah dengan apa yang telah dikatakan tadi. Tapi dia ikhlas untuk memberi nasihat tersebut.

"Aku tau, yang aku sebenarnya tak layak nak tegur kau pasal ni semua sebab aku sendiri pun bukan perfect. Anyway, nobody perfect kan? So, kalau kita tak boleh nak jadi sempurna, sekurang-kurangnya kita cuba kan? Orang kata, kalau kita berusaha tanpa berdoa, itu namanya kita ni sombong. Kalau kita berdoa tanpa berusaha pulak, itu namanya kita ni bodoh," sambung Aziem lagi.

"Dah la, aku nak balik. Air kau aku bayar sekali," kata Rayyan lalu bangun menuju ke kaunter untuk membuat pembayaran.

Setelah selesai, tanpa menunggu Aziem, Rayyan terus menuju ke arah keretanya yang diparkir di hadapan restoran mamak tersebut. Kebetulan pula keretanya diparkir bersebelahan dengan kereta Aziem.

Bila melihat Rayyan berlalu ke kereta, Aziem mengekori. Setibanya di kereta, Aziem meminta Rayyan untuk menunggu. Rayyan juga tidak menolak. Aziem mengambil sebuah buku dari dalam dashboard keretanya lalu menyerahkannya kepada Rayyan.

"Dulu aku jahil jugak pasal agama, pasal solat. Tapi Iffa bagi aku buku ni. Mula-mula aku ikut apa yang ada dalam buku ni, lepas tu aku tanya pada ustaz-ustaz. Dan pada aku buku ni bagus. Betul-betul membantu aku. Walaupun kita tak boleh nak bergantung pada buku semata, tapi sekurang-kurangnya kau ada niat nak belajar. Kalau kau tak faham kau boleh tanya ustaz atau tanya aku pun boleh jugak."

Lambat-lambat Rayyan ambil juga buku tersebut. HIMPUNAN SOLAT-SOLAT SUNAT & FADHILATNYA karya Ahmad Kamal Wong.

"Iffa bagi kau, kau bagi aku."

"Tak apa, kalau Iffa tau pun, aku tau dia tak kisah."

Tanpa berkata apa, Rayyan terus memandu keretanya pulang. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, kata-kata Aziem terngiang-ngiang di telinga Rayyan.

* Dapatkah Rayyan menemui jalan penyelesaian kepada masalahnya? Bergunakah buku pemberian Aziem kepada Rayyan? Nantikan sambungannya........................................